NASIONAL

Anwar: Hakim terlibat jatuh hukum dakwaan Fitnah II boleh tidur lena

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hakim yang terlibat menjatuhkan hukuman atas dakwaan Fitnah 2 sebelum ini boleh tidur lena kerana pihaknya tidak berminat untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Menurutnya, walaupun pihaknya berpendirian sedemikian namun segala bentuk ketidakadilan yang berlaku dalam sistem kehakiman sebelum ini mesti diperbetulkan.

“Saya tidak bermaksud untuk ambil tindakan terhadap hakim yang lalu, mereka boleh tidur lena sekarang. Tetapi kezaliman dan ketidakadilan mesti diperbetulkan,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran buku bertajuk ‘Anwar Returns: The Final Twist’ di Hotel Hilton Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas peguamnya S N Nair supaya satu siasatan dibuat terhadap keputusan hakim terhadapnya susulan keputusan Yang di-Peruan Agong membenarkan pengampunan penuh kerana hukuman yang dibuat pihak hakim pada waktu itu wujud ‘ketidakadilan’.

SN Nair berkata, hakim membuat keputusan pada waktu itu tidak melaksanakan keadilan yang sebenar mengikut undang-undang dan gagal mendukung sumpah kehakiman.

Mengulas mengenai tuntutan berkaitan dakwaan mengatakan RM9.5 juta dibayar kepada peguam Tan Sri Shafee Abdullah untuk mendakwa beliau dalam kes liwat 2 Anwar berkata pihak peguamnya sedang membuat permohonan itu supaya ia dipercepat.

“Saya harap mahkamah tidak akan menangguhkan kes ini. Kami akan mengemukakan rayuan susulan keputusan mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan sebelum ini,” katanya.

Pada 2017 Mahkamah Tinggi membatalkan tuntutan Anwar terhadap kerajaan berkaitan dakwaan mengatakan RM9.5 juta dibayar kepada peguam Shafee untuk mendakwa bekas pemimpin pembangkang itu dalam kes Fitnah II.

Anwar dibebaskan sepenuhnya Mei lalu selepas menerima satu pengampunan penuh daripada Yang Di-Pertuan Agong untuk kesemua sabitan kes dengan rekodn pertuduhan terhadapnya dipadamkan.


Pengarang :