NASIONAL

Anwar: “Jangan doakan Ahli Parlimen meninggal”

Oleh NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 9 OGOS: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, tidak wajar mana-mana pihak berharap ada Ahli Parlimen meninggal dunia bagi membolehkan beliau bertanding, di kerusi terbabit.

Anwar berkata, pada masa ini terdapat Ahli Parlimen menawarkan diri untuk mengosongkan kerusi masing-masing bagi membolehkan beliau bertanding, di peringkat Parlimen.

“Maknanya, jika secara ‘neutral’ nak tunggu Ahli Parlimen mati?

“Ini pandangan tak baik yang saya pernah dengar. Apa yang saya tahu, pandangan konsesus dari awal bahawa peralihan kuasa berlaku dalam tempoh terdekat melalui penyertaan saya dalam Parlimen.

“Jangan kita mendoakan orang mati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di Tropicana Merchant Square, di sini, hari ini.

Anwar berkata, pada masa ini beliau terus memberi sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menerajui kerajaan.

Anwar juga tidak menolak bahawa beliau akan menyertai Dewan Rakyat sebagai penyokong kerajaan terlebih dahulu dalam tempoh peralihan kuasa nanti.

Ketika menjawab soalan berhubung keadaan kesihatannya, Anwar memberitahu, keadaan bahunya beransur pulih.

“Sakit bahu sikit sedangkan ada (Ahli Parlimen) yang sakit otak, sakit jantung, buah pinggang dan ramai yang lebih serius. Tak apa, ini satu teguran membina supaya saya rajin buat fisio,” katanya.


Pengarang :