SELANGOR

Anwar semangat bantu kempen DUN Sungai Kandis

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 OGOS: Walaupun baru sahaja selesai menjalani pembedahan bahu dan juga pinggang di Turki, itu tidak menghalang Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk turut sama berkempen di Sungai Kandis.

Beliau dijadualkan menyampaikan ceramah perdana di Jalan Kebun bermula jam 10 malam tadi, namun kelibatnya sudah mula tiba pada jam 9.45 malam.

Kehadiran Anwar disambut penduduk Jalan Kebun termasuk penyokong yang menanti sejak jam 9 malam lagi.

Keadaan cuaca dengan hujan lebat tidak sedikitpun mematahkan semangat penyokongnya untuk terus menanti ceramah Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN itu pada jam 11.30 malam.

Anwar kelihatan ceria walaupun memakai anduh, ketika berada di atas pentas, beliau juga sempat berseloroh sehingga membuat orang ramai geli hati.

“Sebenarnya susah juga saya hendak datang ke sini, ini kerana doktor tidak berapa mengizinkan saya terlalu aktif dan ke sana sini, tetapi itu ‘doktor’ di rumah sayalah.

“Saya juga boleh berlari dengan laju selepas ini,” katanya sambil berlari anak di sekeliling pentas.

Gelagat Anwar itu disambut gelak ketawa hadirin.

Sebelum ini beliau dilaporkan menjalani dua pembedahan termasuk pada bahu kanan yang mengalami kecederaan serius pada kaf rotor.

Dalam pembedahan di Medipol Mega University Hospital itu, Anwar turut menjalani pembedahan mikro bagi merawat sakit belakangnya yang kronik akibat kegelinciran disk.


Pengarang :