SELANGOR

Apps Kiddocare penyelesaian penjagaan anak, peluang jana pendapatan tambahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 25 OGOS: Ibu bapa di Selangor dan Kuala Lumpur tidak perlu rungsing lagi untuk meninggalkan anak masing-masing tatkala mempunyai urusan kerja mahupun menghadiri sesuatu majlis.

Pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kiddocare, Nadira Mohd Yusoff berkata, hal ini berikutan Kiddocare menyediakan perkhidmatan profesional yang boleh diperolehi dengan mudah melalui applikasi di Google Play Store.

“Kiddocare merupakan kaedah baru di mana kita menggunakan teknologi kerana hari ini semua orang menggunakan telefon bimbit.

“Jadi kita gunakan aplikasi yang mampu memadankan profail ibu bapa dan pengasuh kanak-kanak mengikut kesesuaian waktu, tempat dan lain-lain kerana mungkin ada yang nak pakai dua jam sahaja, mungkin juga nak enam jam atau mungkin juga anak dia sakit dan dia tak boleh bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Taklimat Kiddocare di Balai Masyarakat Puchong, Taman Puchong Perdana, di sini, hari ini.

Nadira berkata, pada masa ini perkhidmatan Kiddocare hanya tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur sahaja sebelum dan akan dikembangkan ke seluruh negara sedikit masa lagi.

Katanya, setakat ini seramai 560 orang yang telah menerima latihan kemahiran mengasuh dan latihan kecemasan seperti bantuan pernafasan telah mendaftar sebagai pengasuh di Kiddocare.

Bagaimanapun katanya, Kiddocare memerlukan lebih ramai lagi wanita yang ingin mencari pendapatan tambahan dengan mendaftar sebagai pengasuh berikutan permintaan tinggi ibu bapa yang mahu menggunakan perkhidmatan mengasuh.

“Kiddocare membantu para wanita yang ingin mencari pendapatan tambahan di mana mereka boleh mendaftar sama ada di facebook kami, laman sesawang atau applikasi kami,” katanya.


Pengarang :