SUKANKINI

ARRC: Akid tekad buru juara pertama

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 OGOS: Pelumba Underbone 150cc, Mohd Akid Aziz mempunyai misi untuk meraih juara pertama, musim ini apabila kontinjen Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) turun beraksi di Litar Lumba Motor Madras, Chennai, India, mulai hari ini hingga 5 Ogos ini.

Pelumba Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia Team itu masih belum mengecapinya sepanjang tiga pusingan lalu, namun begitu berjaya meraih dua podium iaitu naib juara di Suzuka dan ketiga di Australia.

Pada ketika ini, Akid yang juga juara bertahan berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan 71 mata, ketinggalan 23 mata kepada pendahulu, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing Team).

“Rakan sepasukan, Md Haziq Fairues memenangi perlumbaan sewaktu di Australia, ini menunjukkan jentera kami kekal kompetitif pada musim ini.

“Saya yakin mampu untuk menaiki podium sebagai juara pada baki tiga pusingan musim ini,” katanya.

Akid berkata, beliau juga tidak bimbang dengan usaha mempertahankan gelaran keseluruhan kerana jurang perbezaan mata masih belum begitu jauh.

“Paling penting saya mahu mencari kemenangan pertama terlebih dahulu di India minggu ini dan kemudian baharu saya fikirkan berhubung strategi mempertahankan gelaran keseluruhan,” katanya.


Pengarang :