EKONOMIGLOBAL

AS naikkan tarif barangan China 25% babitkan barangan nilai RM812.7 bilion

WASHINGTON 2 OGOS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini menimbangkan cadangan untuk menaikkan tarif kepada 25 peratus ke atas import China bernilai AS$200 bilion (RM812.7 bilion), berbanding kadar 10 peratus sebelum ini, menurut satu laporan kelmarin.

AS mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas produk China bernilai AS$34 bilion (RM138 bilion) pada awal bulan ini, dan mempunyai rancangan untuk menambah senarai barangan lain sebanyak AS$16 bilion (RM65 bilion) lagi kelmarin.

“Trump pada awalnya mengancam untuk mengenakan cukai 10 peratus ke atas tambahan import AS$200 bilion tetapi kini mungkin dinaikkan kepada 25 peratus,” menurut sumber kepada Washington Post dan Bloomberg.

Tindakan itu mungkin mewakili satu peningkatan tekanan ke atas perang dagangan Washington-Beijing.

Di Beijing, jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang semalam menyatakan ‘ugutan dan tekanan daripada pihak AS tidak akan berjaya.

“Jika AS mengambil langkah-langkah memburukkan lagi keadaan, kami pastinya akan mengenakan langkah tindak balas untuk menegakkan hak sah dan kepentingan (kami),” katanya dalam satu taklimat harian.

Pada tahun 2017, AS mempunyai defisit dagangan AS$376 bilion (RM1.526 trilion) dengan China. Keadaan itu menyebabkan Washington berusaha untuk mengurangkan jumlah berkenaan.

SUMBER: AFP


Pengarang :