SELANGOR

Ayuh kibarkan Jalur Gemilang, semai cintakan negara

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 16 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze menggalakkan semua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Subang Jaya khususnya untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda sokong dan cintakan negara.

Michelle berkata, beliau optimis masyarakat komited memberikan sokongan sekaligus menghormati pejuang dahulu yang bersusah payah mendapatkan Kemerdekaan terhadap negara ini.

“Saya sendiri sudah menyumbangkan 400 Jalur Gemilang untuk digantung dan dikibarkan di seluruh Subang Jaya dan optimis supaya masyarakat di sini turut memberikan sokongan terhadap kempen ini.

“Kempen kibarkan Jalur Gemilang bukan sahaja dapat menceriakan kawasan rumah penduduk tetapi menyemarakkan suasana menjelang Hari Kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku bertempat di Pasaraya Mydin USJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Michelle berkata, beliau memuji inisiatif Mydin Mohamed Bhd yang sentiasa komited bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam melaksanakan program MyMerdeka itu.

Katanya, program yang sudah memasuki tahun ketiga itu bertujuan meraikan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara bebas, aman dan makmur serta memberi kesedaran patriotisme dalam kalangan rakyat.

“Program MyMerdeka ini memberi makna yang cukup signifikan dan bermakna kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat di Malaysia.

“Penganjuran program sebegini dilihat dapat menyemarakkan kesedaran terhadap sambutan Kemerdekaan yang diraikan oleh seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira fahaman ideologi politik budaya dan agama,” katanya.

Program MyMerdeka Sayangi Malaysia itu merupakan pameran berkonsepkan komunikasi visual secara bersemuka yang turut mendapat kerjasama bersama Mydin Mohamed Bhd dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN).

Program itu memberi kesedaran kepada pengunjung melalui penghayatan secara visual yang memaparkan aspirasi atau hasrat kerajaan mewujudkan negara bersatu padu dan mengamalkan toleransi antara kaum.

Antara pengisian menarik program selama empat hari sehingga 19 Ogos itu antaranya Pameran Sejarah Negara, Pameran Raja Kita, Pameran Koleksi Logo Hari Kebangsaan, Kempen MyPledge dan Shop, Collect & Redeem 2018.


Pengarang :