SASTERA

Kucing Non-Partisan

Oleh Shahkang

APAKAH perasaan anda, pabila pulang dari kerja dan melihat sekeliling rumah – anda menemukan:

Pertama: Bangkai dua ekor anak kucing terdampar dalam longkang. Warna bulu kurang jelas sebab dah bercampur gaul dengan air longkang.

Kedua: Sekumpulan kucing berwarna cerah (putih, oren, kelabu dan seumpamanya) berhimpun di tepi lorong, tepatnya berdekatan dengan sepohon bunga raya.

Jumlah peserta: Sekitar 10 ekor kucing.

Ketiga: Sekumpulan kucing berbulu gelap (hitam, belang koko dan seumpamanya) berhimpun di bawah ampaian kain, belakang rumah.

Jumlah peserta: Sama seperti di atas.

Aku hanya mampu menggeleng. Kesip-kesip mata. Tampar lembut pipi. Jentik telinga. Sakit, sakit, sakit! Ternyata ini bukan mimpi.

Aku menukar pakaian pejabat lalu menekan punat alat kawalan jauh televisyen. Lekas aku membuka pintu kaca gelongsor, mengharapkan Tam segera masuk ke dalam rumah. Penemuan aku tadi memerlukan penjelasan.

Sambil-sambil itu aku menonton sidang forum politik kebangsaan di kaca televisyen.

Lagu B.Y.O.B dari Systems of A Down samar-samar kedengaran – anak muda rumah sebelah ternyata punya cita rasa sepuluh tahun ke belakang.

Aku tak mampu bersabar. Dengan pantas aku mencapai kotak makanan kering Tam di kabinet dapur. Goncang sekali. Goncang dua kali. Goncang tiga kali (aku serupa sedang mengikut rentak lagu B.Y.O.B). Akhirnya, muncul bayang hitam di balik tirai pintu.

Datang pun kau, si gemuk.

Tam masuk dengan ekor terpacak ke atas dan langkah gontai. Aku tuang sedikit makanan kering ke dalam mangkuk plastik. Biarkan dia makan dahulu, sebelum dia disoal siasat.

“Mengapa kucing beramai-ramai berhimpun? Mengapa ada dua ekor anak kucing mati di dalam longkang?” Soal siasat bermula. Tam tidak terkejut dengan soalan aku.

Rupanya komuniti kucing di sini sedang mengalami masalah serangan anjing dari taman perumahan sebelah. Mangsa adalah anak-anak kucing kecil. Anjing-anjing ini akan datang menceroboh kawasan, lalu merampas anak-anak kucing berusia tiga bulan ke bawah dari jagaan ibu. Anak-anak ini digigit leher sehingga luka dan separa lemah. Kemudian, dilemparkan ke dalam longkang dan dibiarkan lemas.

“Habis, kenapa perlu berhimpun?”

Sidang forum politik kebangsaan di televisyen sedang rancak. Aku tak kenal siapa ahli panel. Hujah-hujah mereka dengar seperti menyelerakan namun cerita Tam lebih menggamit minatku.

Dua kelompok bertelagah – geng bulu cerah dan geng bulu gelap. Isu pokok adalah siapa yang lebih berhak diberi tugas menghalang si anjing-anjing penceroboh. Geng bulu cerah merupakan penduduk asal taman perumahan ini. Mereka tidak rela mengizinkan geng bulu gelap menjadi juara di hati rakyat untuk menyelesaikan masalah ini. Hanya geng bulu cerah seharusnya menjadi pahlawan rakyat dan berjuang atas nama keamanan taman. Geng bulu hitam pula tidak berpuas hati. Mereka mendesak agar peluang diberi sama rata.

Tam tidak menyertai mana-mana perhimpunan. Tugas hariannya hanya duduk di atas tembok pagar rumah dan menghalang ular daun, tupai atau apa jua binatang daripada melintas sempadan.

“Masing-masing berhimpun, menunjuk kekuatan bahawa mereka paling layak untuk mengawal.” Tam menghabis ayat lalu menjilat-jilat tangan (kaki hadapan).

“Habis, siapa yang sedang mengawal keamanan kucing taman ini?”

Tam menggeleng – tiada siapa. Aku tepuk dahi serta-merta. Kata Tam, setiap kali ada kelompok cuba berkawal sekeliling taman, satu kelompok lagi akan menyerang.

Oh, patutlah aku terdengar pergaduhan kucing begitu dahsyat sejak dua hari lepas!

“Kau kena buat sesuatu, Tam. Kau sebagai seekor kucing non-partisan harus berani menegur! Dalam saat sebegini, keselamatan kucing di sini lebih mustahak berbanding kemegahan sesebuah kumpulan.”

Tam menjilat-jilat dulu. Pura-pura pekak.

Pandangan aku sekali-sekala terarah ke skrin televisyen.

“Hanya kau sahaja mampu menyelamatkan keadaan!”

Tam letak kepala atas tangan. Lena. Aku terus menggoncangkan badannnya – bangunlah, gemuk! Kau nak lihat makin banyak anak kucing terdampar dalam longkang?

Kau harus bertindak!

Hiss! Tam bengis, membantah cadanganku.

Ah, suka hatilah. Aku sambung menonton forum politik kebangsaan.

Kami tidak bertegur sapa langsung pada malam itu.

Keesokannya, aku pulang kerja seperti biasa. Eh, makin banyak anak kucing terdampar dalam longkang. Tambah membingungkan, jika semalam ada dua kelompok kucing berhimpun, sekarang ada empat. Dua perhimpunan geng berbulu cerah, dua perhimpunan geng berbulu gelap.

Yang ini paling mengejutkan, aku temui Tam terdampar di tepi rak kasut di depan pintu rumah. Badan dan telinga bersopak merah.

Itu darah!

“Mereka tak bersetuju untuk bersatu. Bahkan saya dituduh sebagai barua geng anjing kurap!” Tam mengadu sakit. Segera aku memasukkan Tam ke dalam sangkar. Huh, lantai luar rumah penuh dengan tompok darah dan cebisan bulu berwarna hitam. Bau hancing.

Dengan pantas enjin kereta aku hidupkan semula. Tam duduk termangu dalam sangkar, tidak bermaya. Sepatah apa pun tak bunyi. Perjalanan ke klinik haiwan terasa lama pula. Mujurlah doktor sahkan Tam tidak apa-apa. Cuma dia mengiau kuat waktu kena letak ubat luka tu, biasalah.

Tiba dari klinik haiwan, aku nampak sekumpulan anjing berkumpul di hadapan rumah aku. Hon dua, tiga kali, berambus pun. Mereka tinggalkan tompok darah dan cebisan bulu. Berdekatan pohon bunga raya, seekor kucing berbulu oren baka tempatan sedang nyawa-nyawa ikan. Di dalam longkang, bangkai anak kucing sudah tidak kelihatan kerana bangkai kucing-kucing dewasa sudah menutupi. Air longkang bertambah merah dengan darah para kucing. Aku menutup hidung dek bau hancing yang terlalu menusuk.

Aku hanya mampu menelefon pihak majlis perbandaran untuk melupuskan bangkai-bangkai kucing (aku jumpa banyak lagi bangkai di bawah ampaian dan aku sangat memerlukan bantuan).

Tam? Dia hanya duduk termangu bersendirian di hadapan televisyen, bertemankan siaran forum politik kebangsaan (yang entah ke berapa episodnya).


Pengarang :