NASIONAL

Bangkit ikrar Merdeka, bina Malaysia lebih progresif

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 16 OGOS: Seluruh masyarakat diseru bangkit melaungkan ikrar Merdeka bagi membina Malaysia yang lebih progresif.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, menerusi program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku, turut diadakan kempen MyPledge untuk mengajak rakyat Malaysia menyatakan ikrar Merdeka mereka kepada negara.

“Pihak kami mensasarkan pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records dengan sasaran 500,000 ikrar Merdeka rakyat Malaysia dalam tempoh satu bulan.

“Manakala, kakitangan Mydin di seluruh Malaysia akan mula menulis dan menampal ikrar Merdeka mereka secara serentak di cawangan masing-masing tepat jam 11 pagi pada 16 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku bertempat di Pasaraya Mydin USJ, di sini, semalam.

Ameer Ali berkata, pelanggan Mydin dan seluruh rakyat Malaysia boleh menulis ikrar Merdeka mereka untuk negara dan menampal di papan MyPledge yang sudah disediakan di 63 cawangan Mydin seluruh negara.

Menariknya, Ameer Ali berkata, anda juga boleh menyatakan ikrar menerusi platform e-ikrar dengan mengimbas kod QR yang terdapat pada platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter Mydin Malaysia atau layari terus laman web www.mydin.com.my.

“61 ikrar terbaik dan bermakna akan dikongsi kepada orang ramai menerusi media sosial.

“Kesemua 61 ikrar Merdeka terbaik akan menerima nombor plat PATRIOT dan baucer membeli-belah Mydin,” katanya.

 


Pengarang :