GLOBAL

Banjir ragut 27 nyawa di Kerala

NEW DELHI 11 OGOS: Banjir kilat meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa di negeri Kerala, selatan India, kata beberapa pegawai semalam, mendorong Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan nasihat kepada rakyatnya supaya menjauhi kawasan tumpuan pelancong.

Negeri pesisir pantai itu didiami kira-kira 33 juta penduduk dan popular kerana pantainya yang cantik serta ladang teh. Kerala dilanda hujan monsun pada setiap tahun tetapi musim hujan kali ini agak teruk.

Sementara itu di seluruh India, lebih 700 orang terbunuh akibat banjir.

Pasukan tentera dikerah untuk melakukan usaha menyelamat selepas hujan selama dua hari memaksa pihak berkuasa membuka pintu air di 24 buah empangan bagi mengalirkan air berlebihan.

Kira-kira 20,000 orang hilang tempat tinggal dan 260 pusat penempatan sementara dibuka. Seramai 57 pelancong termasuk 24 warga asing terperangkap di kawasan berbukit di Munnar.

Salah satu daripada lima pintu air di empangan besar di daerah Idukki turut dibuka untuk kali pertama dalam tempoh 26 tahun.

“Pintu air di 24 empangan telah dibuka setakat ini. Perkara ini tidak pernah berlaku dan membayangkan situasi kini serius,” kata Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan dalam satu kenyataan di laman Twiter.

Perkembangan itu mendorong Kedutaan AS mengeluarkan nasihat kepada rakyatnya kelmarin supaya menjauhi kawasan terjejas dan menonton media tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan banjir.

Lebih sejuta pelancong asing melawat Kerala pada tahun lalu, demikian menurut statistik rasmi.

SUMBER: AFP


Pengarang :