PBT SELANGOR

Bayar cukai taksiran sebelum 31 Ogos elak denda

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 29 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengingatkan orang ramai menjelaskan bayaran cukai taksiran sebelum Jumaat ini, bagi mengelak dikenakan caj lewat RM20.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, tindakan itu dikenakan ekoran tempoh bayaran cukai taksiran bagi penggal 2/2018 akan berakhir, pada 31 Ogos ini.

“Untuk kemudahan orang ramai, kaunter bayaran di Ibu Pejabat MPS dan kaunter cawangan Rawang akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengahari, pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang Ogos ini.

“Orang ramai juga boleh menjelaskannya melalui pelbagai kemudahan bayaran di kaunter Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Selangor, cawangan bank terpilih serta melalui perbankan internet,” katanya.

Beliau berkata, MPS turut memperkenalkan kiosk bayaran elektronik bermula awal Ogos ini, di Lobi Kaunter Bayaran MPS.

Katanya, sebanyak lima kiosk disediakan bagi memudahkan urusan orang ramai membuat bayaran cukai taksiran dan cukai tanah bagi semua PBT juga Pejabat Daerah dan Tanah seluruh Selangor.

“Pemilik yang ingin menjelaskan tunggakan cukai taksiran, layak diberi pertimbangan pengurangan waran tahanan bagi bayaran secara penuh atau ansuran.

“Maklumat berkenaan kelayakan pengurangan boleh diperoleh di kaunter bayaran cukai taksiran MPS.

“Jika masih gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran selepas tujuh hari waran diserahkan, MPS akan melaksanakan tindakan sitaan juga harta alih di dalam premis dan operasi dijalankan setiap minggu,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan boleh menghubungi Bahagian Hasil, Jabatan Perbendaharaan di talian 03-6126 5800 atau layari www.mps.gov.my


Pengarang :