SELANGOR

Belia dan warga emas perlu saling interaksi

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 29 OGOS: Kanak-kanak, remaja dan warga emas digalakkan untuk saling berinteraksi bagi mengeratkan hubungan sesama mereka.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, beliau amat menyokong program membabitkan generasi muda dan warga emas diwujudkan di Selangor dan dijadikan sebagai program tahunan.

“Program sebegini amat berkesan, bertujuan memberi kesedaran kepada dua generasi berkenaan keperluan menjalankan aktiviti bersama bagi mengurangkan jurang pemisah, sekali gus mengeratkan hubungan sesama mereka.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua, terutama generasi muda betapa pentingnya kita mengambil berat berkenaan keperluan dan kehendak warga emas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Intergenerasi Warga Emas, Kanak-kanak dan Remaja Peringkat Selangor 2018, di Dewan Orang Ramai, Kampung Ulu Chuchoh, Sungai Pelek, di sini, semalam.

Katanya, setiap generasi muda akan turut menempuhi usia emas dan pastinya seseorang itu mengharapkan perhatian serta layanan terbaik daripada anak juga masyarakat.

Pada masa sama, katanya, peranan warga emas tetap diperlukan dalam usaha mewujudkan negara bersatu-padu dan bertoleransi dengan masyarakatnya berkeyakinan, mempunyai nilai moral, beretika serta mampu menjamin kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

“Jika dilihat, warga emas berusia 60 tahun ke atas kebanyakannya masih produktif, mempunyai pengalaman luas dan berpendidikan tinggi, jadi perlunya kita memanfaatkan mereka untuk mendidik generasi muda kini.

“Malah, kesejahteraan sosial dan pembangunan yang dinikmati rakyat Malaysia, pada masa ini adalah hasil titik peluh serta usaha gigih generasi terdahulu yang kini antaranya daripada warga emas juga,”katanya.


Pengarang :