EKONOMINASIONAL

Beri kepercayaan kepada kerajaan, jangan cuba elak bayar SST – Guan Eng

PETALING JAYA 19 OGOS: Peniaga diminta memberikan kepercayaan kepada kerajaan dalam melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan tidak cuba mengelak daripada membayar cukai berkenaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata jika peniaga merasakan mereka layak mendapat pengecualian cukai, mereka terlebih dahulu perlu membuat permohonan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang akan menentukan kelayakan mereka.

“Sebagai contoh ada antara peniaga yang terlibat dalam perkhidmatan, tidak pasti dikenakan SST atau tidak, oleh itu mereka perlu membuat permohon supaya syarikat itu dikecualikan.

“Selepas itu (permohonan) kita akan siasat dan jika mereka tidak layak dikecualikan, maka mereka kena bayar, tapi kalau mereka layak dikecualikan, maka mereka akan dikecualikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat SST bersama Menteri Kewangan di Subang Jaya di sini, semalam.

Katanya ini merupakan pendekatan mesra yang dipratik kerajaan untuk menggalakkan peniaga mendaftarkan peniagaan mereka untuk sistem percukaian itu yang akan dikuat kuasa mulai 1 September.

Sementara itu, Lim berkata dalam taklimat bersama peniaga dan wakil persatuan peniagaan itu, beberapa perkara dibincangkan termasuk kekeliruan mengenai pengecualian SST terhadap susu berperisa untuk kanak-kanak.

Katanya memandangkan produk itu penting untuk tumbesaran dan kesihatan kanak-kanak, kerajaan bersetuju untuk mengecualikan produk itu daripada dikenakan SST.

“Hari ini baru saya tahu mengenai perkara itu (bahawa susu berperisa dikenakan SST), dan saya akan kecualikan susu berperisa daripada dikenakan cukai.

Sementara itu pada sidang media berasingan, Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata sebanyak 77,451 perniagaan telah didaftarkan di bawah SST sehingga Khamis lalu (16 Ogos), melalui pemindahan automatik daripada sistem GST kepada sistem SST.

Katanya daripada jumlah itu sebanyak 32,577 merupakan pendaftar bagi cukai jualan dan 44,874 lagi pendaftar bagi cukai perkhidmatan.

“Jumlah ini bagaimana pun bukan bermaksud kesemuanya dikenakan SST kerana peniagaan yang layak boleh membuat permohonan pengecualian, dan kami menganggarkan sekitar 10,000 lagi syarikat belum mendaftar ke dalam sistem SST,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :