SELANGOR

BGMC tumpu pemuliharaan alam sekitar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

JERAM, 13 OGOS: Tidak hanya menumpukan keuntungan projek kontraktor, BGMC Corporation Sdn Bhd turut memberikan keutamaan terhadap aktiviti pemuliharaan alam sekitar.

Presiden Kelab Sukan BGMC Corporation Sdn Bhd, Chan Hong Piow berkata, pendekatan itu diambil sempena program ‘CSR BGMC Mangrove Planting’, bagi menterjemahkan hasrat bersama menjaga kepentingan hutan paya bakau.

“Seramai 43 sukarelawan bersama 10 petugas termasuk renjer Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) membantu menjayakan projek menanam 500 anak pokok bakau di Hutan Simpan Kapar Tambahan.

“Anak pokok bakau kurap dan minyak ditanam secara bergotong-royong di kawasan ditetapkan pihak jabatan bagi memastikan ekosistem hutan sentiasa terjaga,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Chan Hong berkata, matlamat program tanggungjawab sosial itu untuk memberi kesedaran dan pendekatan mengenai kepentingan hutan paya bakau.

“Selain itu, ahli dapat membantu memelihara hutan paya bakau supaya dapat diwarisi generasi akan datang dan memupuk semangat setiakawan peserta program.

“BGMC juga berharap supaya program usahasama CSR antara syarikat swasta dengan agensi kerajaan terus terjalin demi kepentingan bersama,” katanya.


Pengarang :