NASIONAL

Biar pimpinan tertinggi KEADILAN tentukan strategi Anwar kembali sertai Kerajaan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 OGOS: KEADILAN mempunyai strategi tersendiri dalam menentukan keperluan sama ada Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) secepat mungkin.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari berkata, KEADILAN tidak akan mendedahkannya kepada umum dan ia hanya ditentukan pimpinan tertinggi.

“Kita ada strategi dan tidak perlu beritahu strategi. Kita perlu bincang dengan pimpinan tertinggi.

“Kita ada mesyuarat Biro Politik setiap minggu dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) setiap bulan. Ia boleh dibicangkan tetapi saya tidak boleh putuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2018 yang dihoskan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Sebelum ini, Anwar membayangkan beliau akan kembali menyertai Kerajaan dalam masa terdekat.

Tetapi buat masa ini, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menumpukan kepada proses pemulihan kecederaan bahu kanan yang dialaminya selepas menjalani pembedahan selain memenuhi jemputan dari dalam dan luar negara.


Pengarang :