NASIONAL

BN tidak kembalikan cukai RM16.046 bilion

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Kementerian Kewangan mendedahkan kerajaan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion sejak enam tahun lalu.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, baki kredit belum dibayar balik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu membabitkan 1.65 juta kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

Katanya, baki tunggakan besar itu disebabkan kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

“Bayaran balik cukai hanya boleh dilakukan berdasarkan jumlah baki tabung terbabit.

“Baki sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei lalu hanya RM1.486 bilion berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara, jauh lebih rendah daripada keperluan jumlah bayaran balik kredit cukai sebanyak RM16.046 bilion yang sepatutnya dibayar.

“Justeru, RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama (BN), bermakna hasil Kerajaan Persekutuan yang dilaporkan kerajaan lama sebelum ini adalah tidak tepat dan terlebih lapor,” katanya dalam kenyataan.

Guan Eng berkata, tunggakan besar bayaran balik baki kredit itu berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dimohon oleh LHDN.

“Apa dilakukan kerajaan lama adalah pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit kerajaan sebelum ini supaya dapat menunjukkan keadaan lebihan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, bagi meringankan bebanan pembayar cukai, kerajaan baru Pakatan Harapan bersetuju membenarkan mereka yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDN membuat permohonan set-off sekiranya mereka mempunyai tanggungan cukai yang perlu dibayar pada tahun semasa.

“Permohonan set-off ini hendaklah dikemukakan kepada LHDN untuk disemak dan dipertimbangkan kelulusannya. Di samping itu, bayaran wang akan dibuat mengikut kemampuan kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.

 


Pengarang :