EKONOMI

BNM: Malaysia dijangka terima kesan minimum perang perdagangan AS-China

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Malaysia dijangka menerima kesan minimum daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China kerana negara ini adalah sebuah ekonomi terbuka yang kecil, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, jika perang perdagangan itu terus memuncak, seluruh ekonomi global akan menerima kesannya dan pertumbuhan dunia dijangka merosot sebanyak 0.5 peratus menjelang 2020, kata Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

“Meskipun begitu, satu daripada kekuatan ekonomi kita adalah kita mempunyai struktur ekonomi yang pelbagai.

“Justeru, walaupun eksport kita mungkin akan terjejas oleh pertumbuhan perlahan ekonomi global namun aktiviti domestik akan terus bertahan dan ini akan menyediakan asas bagi pertumbuhan dalam senario sedemikian,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2018, di sini, hari ini.

Mengenai aliran keluar besar-besaran dalam kalangan bukan pemastautin dalam suku kedua 2018, Nor Shamsiah berkata ini disebabkan terutamanya oleh faktor-faktor luaran.

“Faktor utamanya adalah berkaitan ketidakpastian tentang fasa penormalan dasar monetari Amerika Syarikat, keduanya ketegangan perdagangan dan ketiga perkembangan berkaitan lira Turki.

“Perkembangan luaran menjadi penyumbang utama bagi aliran keluar asing besar-besaran…bagaimanapun pada Julai dan Ogos, kita menyaksikan aliran keluar yang agak sederhana,” katanya.

Sementara itu Nor Shamsiah berkata pendedahan risiko Malaysia kepada krisis kewangan dan lira Turki yang meruncing adalah kecil.

“Sebagai contoh dari segi pendedahan hutang korporat kepada Turki hanya 0.17 peratus dan dari segi pendedahan kepada hutang dalam nilai lira Turki malahan lebih kecil pada 0.03 peratus daripada jumlah hutang luaran korporat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :