EKONOMI

Bursa Malaysia dijangka tinggi, lepasi paras 1,800 minggu depan

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Bursa Malaysia dijangka berada dalam aliran meningkat minggu depan dengan melepasi paras 1,800 didorong pelbagai faktor domestik dan luaran yang positif, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur, kata peniaga.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata kebanyakan pelabur gembira dengan pelantikan Datuk Shahril Ridza Ridzuan sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd yang baharu.

“Selain itu, Indeks Harga Pengeluar bagi pengeluaran tempatan pada Jun 2018 berbanding Mei, serta pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan pada 1 Sept dikatakan akan mengembalikan lebih banyak wang kepada rakyat, turut melonjakkan keyakinan pelabur,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, syarikat pelaburan strategik negara dalam satu kenyataan berkata Shahril Ridza, yang kini CEO Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, dijadualkan memulakan tugas pada 20 Ogos ini.

Nazri Khan turut menjangkakan pelantikan itu akan menjadi petanda baik bagi syarikat berkaitan Khazanah, yang termasuk Tenaga, TM, CIMB, IHH dan Axiata.

Mengenai aspek luaran, beliau berkata ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China semakin reda memandangkan kedua-dua pihak berusaha memulakan semula rundingan, bertujuan mengelakkan perang perdagangan yang lebih buruk antara kedua-dua ekonomi terbesar itu.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee juga mempunyai nada yang sama berkata, penanda aras, FBM KLCI akan diniagakan melepasi paras penting 1,800 dalam aliran berjajaran kecil dan seiring dengan jangkaan para penganalisis terhadap keuntungan korporat domestik pada suku kedua 2018.

“Kami juga yakin pelantikan Shahril Ridza sebagai Pengarah Urusan baharu Khazanah akan memberi hala tuju yang lebih jelas kepada syarikat berkaitan kerajaan dalam pasaran saham selepas ini,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia kebanyakannya ditutup tinggi dengan mengambil petunjuk dari bursa-bursa serantau serta Wall Street yang menyaksikan nilai pasaran saham Apple meningkat hampir tiga peratus kepada US$1 trilion ketika kebimbangan ke atas perang perdagangan AS-China kembali semula dalam tempoh itu.

Di peringkat tempatan, jaminan yang diberikan Khazanah akan diuruskan oleh mereka yang profesional juga sekali gus mengurangkan tekanan ke atas bursa.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 10.95 mata kepada 1,780.09 daripada 1,769.14.

Indeks FBM Emas meningkat 42.20 mata kepada 12,600.48 dan Indeks FBMT100 naik 50.59 mata kepada 12,387.65.

Bagaimanapun, FBM 70 susut 32.44 mata kepada 15,462.37 dan FBM Ace turun 13.10 mata kepada 5,446.04, namun Indeks FBM Emas Syariah bertambah 53.13 mata kepada 12,744.46.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan kurang 12.79 mata kepada 17,440.46 dan Indeks Perusahaan turun 8.79 mata kepada 3,276.12 namun Indeks Perladangan meningkat 71.03 mata kepada 7,623.39.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 11.17 bilion unit bernilai RM10.70 bilion daripada 15.59 bilion unit bernilai RM12.33 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 6.65 bilion saham bernilai RM9.68 bilion daripada 10.36 bilion saham bernilai RM10.77 bilion.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 2.20 bilion unit bernilai RM584.34 juta berbanding 2.90 bilion unit bernilai RM871.01 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 2.31 bilion saham bernilai RM428.57 juta daripada 2.33 bilion saham bernilai RM692.01 juta.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :