SELANGOR

Calon Exco ganti Allahyarham Dr Shaharudin selepas PRK DUN Seri Setia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OGOS: Calon bagi Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan akan diputuskan selepas tamat Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Seri Setia yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, setakat ini calon bagi mengisi kekosongan jawatan itu belum dibincangkan di peringkat pimpinan.

“Buat masa ini, saya memangku portfolio itu. Jika tugas berat ia akan diagih-agihkan kepada exco yang difikirkan sesuai memikul portfolio berkenaan.

“Saya perlu mengambil masa dan berbincang calon yang sesuai seterusnya membolehkan angkat sumpah exco yang dipilih itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Sementara itu, Amirudin turut memberitahu calon bagi kerusi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia berkemungkinan akan diputuskan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

Katanya, ia selepas pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia menetapkan tarikh PRK bagi DUN berkenaan.

“Kita menyerahkan kepada pimpinan tertinggi untuk menilai dan membuat keputusan. Buat masa ini, majlis pimpinan negeri ada meminta cadangan nama yang sesuai,” katanya.

Minggu lalu, Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin yang juga Exco berkenaan meninggal dunia di Hospital Putrajaya.

Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin dari KEADILAN memenangi kerusi DUN Seri Setia selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff M Haniff dengan memperoleh sebanyak 29,250 undi.

Beliau mengalahkan Yusoff yang memperoleh 9,878 undi selain calon Pas, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas, S Vigneswaran (217).


Pengarang :