GLOBAL

China pertahan hubungan perniagaan dengan Iran

BEIJING 11 OGOS : Hubungan perdagangan serta tenaga antara China dan Iran tidak menjejaskan kepentingan negara lain, kata Menteri Luar negara itu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi amaran, syarikat yang menjalankan perniagaan bersama Iran akan dihalang dari berurusan dengan negaranya.

China sebelum ini mempertahankan hubungan komersial bersama Iran dan menyifatkannya sebagai terbuka serta telus, susulan sekatan dikenakan AS ke atas negara Teluk itu walaupun mendapat rayuan sekutu mereka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, kementerian luar China mengulangi bantahan mereka terhadap sekatan dan penghakiman jangka panjang.

“Untuk jangka masa lama, Iran dan China menjalinkan kerjasama komersial yang terbuka, telus dan normal dalam aspek perdagangan, tenaga dan perniagaan dan ia adalah sesuatu yang adil serta sah dari sisi undang-undang.

“Ia tidak mencabuli resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) atau janji China di peringkat antarabangsa, atau menjejaskan kepentingan negara lain, justeru ia harus dihormati dan dilindungi,” kata kementerian itu.

Menggunakan sekatan atau mengancam sesiapa tidak akan menyelesaikan masalah, kata kementerian itu lagi.

“Hanya dialog dan rundingan cara sebenar yang mampu menyelesaikan semua masalah,” katanya.

China yang juga pelanggan utama industri minyak Iran secara kasar membeli 650,000 tong minyak mentah sehari dari Tehran, atau 7 peratus dari jumlah keseluruhan import minyak mentah mereka.

Mengikut nilai pasaran semasa, keseluruhan jumlah import itu bernilai lebih kurang AS$15 bilion (RM61 bilion) setahun.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :