SUKANKINI

Cub Prix: Helmi azam julang Honda

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 OGOS: Mohd Helmi Azman berazam menjulang Honda dan menyekat dominasi Yamaha daripada terus menguasai keseluruhan pentas podium saingan CP150 pada perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak, hujung minggu ini.

Pelumba Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing itu mencipta kejutan apabila berjaya mengungguli sesi Superpole pada pusingan lalu di Temerloh sekali gus muncul pelumba Honda pertama melakukannya selepas kali terakhir dicatat Mohd Zaqhwan Zaidi sewaktu perlumbaan pertama CP150 diperkenalkan pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, permulaan tidak begitu baik dan sekadar menyaksikan Helmi sedikit ketinggalan dan menamatkan perlumbaan akhir di tempat keempat yang juga pencapaian terbaiknya pada musim ini.

Helmi beralih ke jentera Honda pada musim ini terus mempamer aksi konsisten dengan berada di kelompok enam pelumba terbaik sepanjang tiga pusingan lalu dan kini menghuni tangga kelima keseluruhan dengan mengumpul 34 mata.

“Apa ditunjukkan sewaktu di Temerloh menunjukkan kami berada di landasan tepat ketika ini.

“Mungkin faktor litar juga banyak membantu jentera kami mencapai tahap optimum, namun saya harap prestasi dapat dikekalkan di Teluk Intan,” katanya yang juga pendahulu keseluruhan kelas Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Helmi berkata, matlamatnya kini adalah untuk cuba mencari tempat di atas podium yang pertama buat pasukan dan Honda serta menyekat dominasi pelumba dari pasukan menggunakan jentera Yamaha.


Pengarang :