SUKANKINI

Cub Prix: Luqman sandaran Modenas Racing Team

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 OGOS: Pengurus Modenas Racing Team, Razali Ahmad berharap pelumbanya, Luqman Shakiemi Hakim dapat memberi aksi terbaik dan layak ke pusingan Shootout kelas CP150 pada pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Temerloh, Pahang, 18 dan 19 Ogos ini.

Luqman secara konsisten berjaya memacu jentera Modenas ke kelompok 10 pelumba terbaik pusingan kelayakan sepanjang dua pusingan lalu apabila ia antara pencapaian terbaik pasukan sejak musim lalu.

Razali berkata, sebagai pasukan tunggal menggunakan jentera Modenas, bukan mudah untuk mereka menempatkan diri di kelompok hadapan maka prestasi Luqman cukup baik dan positif kepada pasukan.

“Pada masa sama kami mengingatkan seluruh ahli pasukan untuk terus berusaha bagi mendapatkan pelarasan terbaik dan konsisten serta mampu bertahan sehingga tamat perlumbaan akhir.

“Prestasi Luqman menunjukkan pasukan berada di landasan tepat di mana ujian dan pelbagai jenis pelarasan kami lakukan mendatangkan kesan positif.

Namun, katanya, masih terdapat banyak kelemahan terutama selepas Luqman gagal menamatkan perlumbaan akhir dalam kedua pusingan lalu.

“Kami akan terus melakukan ujian demi ujian untuk bersaing di kelompok depan.

“Selain Luqman, saya berharap pelumba lain juga mampu menempatkan diri ke sesi kelayakan Shootout dan bersaing di kelompok 10 pelumba terbaik selepas ini termasuk dalam kategori Wira KBS,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :