SUKANKINI

Cub Prix: Super KIP Honda Racing Academy sasar podium

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 OGOS: Pasukan Super KIP Honda Racing Academy meletakkan sasaran meraih podium pertama dengan Mohd Anuar Ibrahim Pawi menjadi sandaran utama, pada perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, di Teluk Intan, pada 1 dan 2 September ini.

Pengurusnya, Azlan Shah Saidun Hardi berkata, pelumba kelahiran Kampung Gajah berusia 18 tahun itu adalah pelumba terbaik pasukan yang baharu ditubuhkan, pada tahun ini.

“Selepas empat pusingan, Anuar menduduki tangga kesembilan keseluruhan dalam CP115 dengan 27 mata dan meraih penamat terbaik di tempat kelima.

“Anuar menunjukkan prestasi konsisten dalam setiap perlumbaan dan dia antara prospek terbaik pasukan untuk meraih podium manakala dalam kategori WIRA KBS, saya harap semuanya berjalan dengan baik minggu ini,” katanya.

Selepas empat pusingan, beliau berkata, pelumba beraksi dengan semakin baik dan pasukan juga semakin dapat menyesuaikan diri dalam musim pertama, pada saingan Cub Prix.

“Mungkin perlumbaan di hadapan penyokong sendiri akan membawa tuah kepada kita,” katanya.


Pengarang :