SUKANKINI

Cub Prix: Yuzy harap tuah Litar Temerloh

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 OGOS: Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berharap Litar Temerloh yang sering menghadirkan ceria, akan terus membawa tuah kepada pasukannya, Idametsu Honda Givi Yuzy Racing pada perlumbaan pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, hujunh minggu ini.

Sejak pertama kali Temerloh berada dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix pada 2013, pasukannya telah meraih tiga podium dalam kelas perdana melalui Mohd Zaqhwan Zaidi sebagai naib juara dan juara pada 2013 serta 2014 dalam kategori CP130 manakala di tempat ketiga sewaktu perlumbaan pertama kelas CP150 pada tahun lalu.

Hanya pada 2016, Zaqhwan gagal menaiki podium apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat manakala tidak beraksi pada 2015.

Saingan kategori CP115 juga tidak mengecewakan apabila menghadiahkan dua podium di tempat kedua dan ketiga pada musim lalu melalui Azroy Hakeem Anuar dan Mohd Amirul Ariff Musa.

“Walaupun tahun ini Zaqhwan tidak bersama kami, persembahan Azroy yang dinaikkan ke kelas CP150 semakin menunjukkan peningkatan.

“Dia berjaya menempatkan diri di kelompok hadapan sepanjang dua pusingan lalu namun nasibnya tidak begitu baik apabila mengalami beberapa masalah mekanikal dan insiden sewaktu perlumbaan,” kataYuzy.

Beliau berkata, Azroy semakin matang dan menunjukkan peningkatan prestasi dari semaa ke semasa.

Katanya, walaupun pertama kali beraksi bersama pelumba senior lebih berpengalaman, pelumba itu mampu menangani cabaran dan pasukan berharap Azroy akan meraih kejayaan.

“Dari segi jentera, ia lebih baik pada tahun ini. Jurutera pasukan terus bekerja keras sebagai persiapan untuk perlumbaan minggu ini.

“Mudah-mudahan litar Temerloh akan terus menghadiahkan podium kepada pasukan kami,” katanya.

=EZY=


Pengarang :