PBTSELANGOR

Dahulukan rakyat, politik nombor dua

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 1 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengingatkan 24 Ahli Majlis yang baru dilantik supaya mengutamakan tanggungjawabnya terlebih dahulu berbanding parti politik masing-masing.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, Ahli Majlis merupakan wakil kepada rakyat rakyat dalam kawasan ditentukan dan peranan sebagai penggubal dasar.

Katanya, sebagai tenaga penggerak masyarakat, MBPJ tidak mahu Ahli Majlisnya leka berpolitik walaupun dilantik oleh Kerajaan Negeri.

“Ahli Majlis mewakili rakyat dalam kawasan pentadbiran bagi urusan berkaitan perkhidmatan perbandaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebagai penghubung bagi menyampaikan kehendak masyarakat setempat.

“Sebagai tenaga penggerak masyarakat, Ahli Majlis juga perlu menggalakkan pembabitan orang ramai mengambil bahagian dalam menjayakan sebarang program dan aktiviti oleh MBPJ.

“Justeru, saya mengingatkan walaupun dilantik oleh parti masing-masing, saya mahu tugas-tugas sebagai Ahli Majlis didahulukan terlebih dahulu dan parti dibelakang, saya tidak mahu Ahli Majlis berpolitik semata-mata,” katanya pada mesyuarat bulanan MBPJ, di Ibu Pejabatnya, di sini.

Pada masa sama, Mohd Azizi berkata, peranan dan tanggungjawab adalah mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan tidak boleh bercanggah dengan dasar yang diputuskan MBPJ.

Selain itu, beliau turut menasihatkan supaya Ahli Majlis hadir ke mesyuarat bulanan setiap bulan tanpa gagal dan dapat bermesyuarat dengan harmoni tanpa bertelagah sesama sendiri.

Seramai 24 Ahli Majlis mengangkat sumpah secara rasmi menerima jawatan selaku Ahli Majlis MBPJ di hadapan Mohd Azizi, baru-baru ini.

Pelantikan itu bertujuan mengisi kekosongan kerusi Ahli Majlis MBPJ bagi sesi 2018/2020.

Daripada jumlah itu, seramai 11 orang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), 10 Parti Gerakan Demokrasi (DAP); 2 (AMANAH) dan seorang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

 


Pengarang :