SELANGOR

Darul LGBT: Rakyat Selangor ‘naik angin’

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 OGOS : Penduduk Selangor melalui laman twitter hari ini ‘naik angin’ setelah seorang kolumnis melalui akhbar Harakah melabelkan negeri itu sebagai Darul LGBT.

Kolumnis berkenaan didapati mengeluarkan kenyataan tersebut ketika mengulas isu Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia.

Melalui laman media sosial twitter, pemilik akaun Muhd Muslim Hashim berkata, masyarakat boleh berbeza pandangan politik, tetapi tidak perlu memfitnah.

“Kita berkongsi negeri yang sama, sepatutnya rasa dihina ini bersama. Kawan-kawan yang ada dalam parti pembangkang itu, mohonlah nasihatkan mereka yang berada di dalam pembangkang, ini sudah melampau,” tulisnya.

Sementara itu bagi pengguna twitter yang dikenali dengan nama Makcik Brutal berkata, dahulu PAS mengadakan doa laknat, sehingga menyebabkan 15 kerusi tinggal satu kerusi.

“Sekarang mereka tuduh Selangor Darul LGBT. Memang tak serik PAS menghina rakyat, Sultan dan Negeri Selangor, kemungkinan PAS akan kalah teruk di PRK Seri Setia,” katanya.

Bagi Cen Polo, kolumnis akhbar itu, Subky Latif mungkin marah gara-gara orang Selangor bersepakat menolak PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Sementara itu bagi Ibrahim Mat Isa, beliau menganggap tuduhan itu adalah kemuncak fitnah terbesar PAS kepada rakyat Selangor.

“Ini adalah fitnah terbesar sehingga mereka menulis Selangor Darul LGBT,” katanya.


Pengarang :