NASIONAL

Dewan Rakyat lulus sembillan RUU

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Sembilan Rang Undang-undang (RUU) termasuk yang menjadi bualan umum seperti Akta Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 diluluskan pada mesyuarat pertama Dewan Rakyat Parlimen ke-14 yang ditangguhkan malam tadi.

RUU lain yang diluluskan ialah RUU Cukai Jualan 2018, RUU Cukai Perkhidmatan 2018, RUU Kastam (Pindaan) 2018 dan RUU Akta Zon Bebas (Pindaan) 2018 .

Mesyuarat turut meluluskan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2018 dan RUU Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) (Pembubaran) 2018.

Selain itu, Dewan Rakyat juga meluluskan RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 yang memperuntukkan RM6.22 bilion dan dibentangkan berikutan berlaku beberapa penyusunan semula kementerian selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Turut menjadi tumpuan ialah PAC yang diberi kebenaran untuk menyiasat semula skandal 1MDB dan syarikat-syarikat berkaitan dapat dipulihkan serta segala maklumat dapat didedahkan kepada umum.

Hari terakhir juga menyaksikan satu usul yang mencadangkan Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin daripada BN dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan namun usul itu diputuskan untuk dibahaskan pada persidangan akan datang.

Usul itu berikutan tindakan Bung Moktar yang mengeluarkan kata-kata kesat di Dewan Rakyat pada 7 Ogos lalu ketika membahaskan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 ini bermula pada 16 Julai lalu selepas PRU14 yang menyaksikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu berlangsung pada 9 Mei.

Parlimen ke-13 dibubarkan pada 7 April, dua hari selepas mesyuarat terakhir ditangguhkan, bagi memberi laluan kepada PRU14.

Semasa menangguhkan mesyuarat malam tadi, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata persidangan akan bersambung pada satu tarikh yang belum ditetapkan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :