NASIONAL

Dr Mahathir ingatkan kabinet agar peka dengan isu MARA

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan jemaah menteri agar berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Perdana Menteri berkata banyak kenyataan yang dilontarkan mengenai agensi itu yang mempengaruhi pandangan masyarakat umum.

“Ia sudah menjadi isu yang sensitif yang perlu diberi perhatian oleh parti Bersatu dan Pakatan Harapan.

“Saya akan bawa perkara ini kepada menteri-menteri supaya mereka faham betapa pentingnya mereka sensitif terhadap pandangan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), malam tadi.

Beliau berkata PH perlu peka dengan pandangan orang ramai agar terus mendapat sokongan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kerajaan mahu mencontohi budaya Jepun terutama dalam melahirkan anak bangsa yang cemerlang.

Beliau berkata rakyat negara Matahari Terbit itu mempunyai etika yang tinggi dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Namun, sudah tentu kita tidak boleh buat perkara yang sama di sini. Banyak anak muda kita yang tidak berminat belajar dan bekerja, sebaliknya mereka lebih berminat jadi mat rempit dan melakukan kegiatan tidak membina.

“Kita perlu tangani masalah ini,” katanya yang mengadakan lawatan ke negara itu baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan perlu mencari jalan bagi mengatasi masalah itu termasuk melihat kepada sistem pendidikan untuk melahirkan bakal pemimpin negara pada masa depan.

Mengenai pelaksanaan gaji minimum, Dr Mahathir berkata ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Seiring dengan peningkatan dalam pendapatan, produktiviti juga mesti meningkat dan kita perlu pastikan produktiviti mengikut kenaikan gaji kerana kita tidak mahu kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :