SELANGOR

Dua individu dikhuatiri lemas di Bangi ditemui

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Sekurang-kurangnya dua individu dipercayai lemas di Sungai Langat berhampiran Bangi Perdana, Seksyen 3, Bangi dekat sini, pagi ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 10.16 pagi.

“Maklumat awal daripada orang awam mengatakan terdapat dua orang yang dipercayai lemas… pencarian sedang giat dilakukan.

“Kami segera mengerahkan seramai 12 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ke lokasi kejadian bagi kerja mencari dan menyelamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Unit Pengesan K9 Bomba turut dikerahkan di lokasi kejadian bagi menjalankan kerja mengesan mangsa.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan du beranak yang terjatuh di Sungai Langat berhampiran Taman Bangi Perdana, Kajang, ditemui lemas, hari ini.

Mayat mangsa ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Selangor.

 Mangsa pertama dikenali sebagai Roslan Ismail, 49, ditemui pada jam 1.52 tengah hari. Mayat anaknya, Ahmad Azri, 18 tahun, ditemui pada jam 2.20 petang.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.

SUMBER: BERNAMA/ MY METRO

 


Pengarang :