SELANGOR

Dua premis sampah haram DUN Gombak Setia berjaya ditutup

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 27 OGOS : Dua daripada tiga premis sampah haram di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia berjaya ditutup, kata Ahli Dewan Negerinya, Hilman Idham.

Hilman berkata, antara premis tapak pelupusan sampah berjaya diselesaikan adalah di Sri Gombak dan Sungai Pusu manakala di Gombak Utara sedang dalam usaha menyelesaikannya.

Katanya, satu tindakan bersepadu dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menutup semua premis tersebut untuk memastikan kesejahteraan atau keselesaan penduduk tempatan kawasan itu terus terjamin.

“Saya sudah melakukan kunjungan hormat dengan Pegawai Daerah Gombak dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPSelayang) bertujuan melaporkan beberapa perkara yang dibangkitkan rakyat sepanjang melaksanakan kempen di DUN ini.

“Antara perkara dibangkitkan dan perlu selesaikan segera adalah tapak pelupusan sampah haram yang sememangnya banyak atau ada tiga yang terbesar di DUN ini,” katanya ketika ditemui SelangorKini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Hilman berkata, beliau bersyukur hasil kerjasama dan muafakat yang diberikan oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi kerajaan, kini beliau berjaya menutup dua premis tapak pelupusan sampah haram tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai pembakaran terbuka yang berlaku di tapak pelupusan sampah haram, Hilman berkata, ia memang dibakar secara sengaja oleh kontraktor yang menguruskan kawasan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau sudah menubuhkan satu unit penguatkuasaan untuk bekerjasama dengan unit bencana daerah di bawah kelolaan Pejabat Tanah dan Daerah, di sini.

“Kita sudah menjalankan operasi dan ia sudah berjalan selama lebih satu minggu dan saya juga sempat hadir semasa pasukan bomba mengadakan operasi pemadaman kebakaran tersebut.

“Syukur hasil daripada operasi tersebut, asap dapat dikurangkan namun paling membimbangkan apabila di sebelah tapak tersebut terdapat sekolah yang mana kita khuatir ia akan memberi kesan buruk kepada pelajar dan guru di situ,” katanya.

Bagaimanapun, sehingga kini, pasukan bomba masih berada di kawasan tersebut untuk memerhati kerana dikhuatiri sekiranya masih terdapat api dalam tanah tersebut.


Pengarang :