NASIONAL

Duta Jepun: BN tak faham Dasar Pandang Ke Timur

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan Barisan Nasional (BN) disifatkan tidak faham sepenuhnya falsafah Dasar Pandang ke Timur, kata Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa.

Beliau berkata, ia jelas berlaku dalam keputusan BN mengerakkan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), yang mana Jepun merupakan salah satu pembida projek bernilai RM55 bilion itu.

“Berkenaan projek ini, pentadbiran sebelum ini mengesyorkan syarikat luar memohon dan mereka boleh datang ke Malaysia atau Singapura untuk memasang landasan, menyenggara kereta api, menawarkan perkhidmatan dan mendapat keuntungan. Tetapi jika berlaku kemalangan, ia menjadi tanggungjawab (syarikat terbabit).

“Ini bukan dasar Pandang ke Timur. Pendirian kami adalah kami tawarkan teknologi, beri latihan kepada jurutera dan operator.

“Kami tawarkan semua kemungkinan yang dapat diraih warga Malaysia dan Singapura untuk menyenggara dan menguruskan sendiri stesen pengangkutan berteknologi tinggi itu.

“Inilah cadangan kami tetapi pentadbiran dulu tidak menyukainya, tetapi saya fikir Tun Dr Mahathir Mohamad memahaminya,” kata Miyagawa dalam acara makan malam anjuran Kelab Rotary di Kuala Lumpur, semalam.

Memetik laporan MalaysiaKini, Miyagawa berkata, Jepun sedia melatih dan menawarkan peluang kepada golongan muda Malaysia untuk belajar di negara itu dan pulang untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

“Tahap maju Dasar Pandang ke Timur ini dipanggil Dasar Pandang ke Timur 2.0, tetapi falsafah sebenarnya tidak begitu difahami pentadbiran lalu,” katanya.

Dasar Pandang ke Timur dicetuskan Mahathir pada era 1980-an, ketika mula menjadi Perdana Menteri yang secara langsung menggalakkan mencontohi model pembangunan Jepun.

Projek HSR pula dicadangkan pentadbiran bekas Perdana Menteri ,Datuk Seri Najib Razak.

Selain Jepun, China juga bersungguh-sungguh membida projek itu.


Pengarang :