PENDIDIKANSELANGOR

Elak stress, resepi kejayaan pelajar terbaik KUIS

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 11 OGOS : Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran), Nur Amalina Sahudin menyifatkan stress merupakan antara sifat negatif yang perlu dielakkan sekiranya ingin berjaya dalam pelajaran.

Beliau yang juga penerima Anugerah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkata, beliau sentiasa mengamalkan keseronokan dalam pembelajaran selain menghormati kedua-dua orang tua.

“Saya terkejut dianugerahkan anugerah ini kerana ia amat besar nilainya, namun bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada ibu bapa serta keluarga yang sentiasa mendoakan.

“Ayah selalu berpesan, ilmu tidak sakitkan kita tetapi ilmu  menyihatkan kita.

“Jadi, saya elakkan diri daripada stress sebaliknya sentiasa berfikiran positif serta tenang menghadapi apa sahaja keadaan,” katanya.

Selain itu, Nur Amalina berkata, antara resepi kejayaannya juga, beliau sering mengamalkan belajar pada waktu malam selepas tidur sebentar dan akan berjaga selama beberapa jam.

“Fokus sewaktu belajar juga penting kerana jika hanya membaca tanpa memahami maksud sebenar sesuatu pelajaran pun tiada guna juga,” katanya ketika ditemui SelangorKini pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Dewan Konvesyen KUIS di sini, hari ini.

Selain itu, Nur Amalina turut berhasrat menyambung pengajian sehingga Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang berkitan psikologi media.

“Saya memang minat mendalami ilmu psikologi media dengan lebih mendalam dan pada masa sama bercita-cita mahu menjadi pensyarah bidang berkaitan,” katanya yang juga penerima Ijazah Kelas Pertama.

Mengulas KUIS menjadi pilihan, beliau berkata, institusi itu amat bagus dan mempunyai pelbagai fasiliti yang memudahkan pelajar menuntut ilmu.

Sepanjang menuntut di KUIS, Nur Amalina merupakan Penerima Anugerah Dekan pada setiap semester. Pencapaian terbaiknya adalah menerima Anugerah Inspirasi Mahasiswa III (AIM III) dan Anugerah Penerbit Terbaik MCP 2016.


Pengarang :