SELANGOR

EXCO: Cuaca panas, banyakkan minum air

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 29 OGOS: Orang ramai dinasihatkan meminum lebih banyak air kosong ekoran cuaca panas yang sedang berlaku, kini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, minuman manis seperti kafein perlu dikurangkan kerana ia menyebabkan badan lemah dan kurang hidrasi.

“Selain itu, orang ramai perlu mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas dan dapatkan rehat secukupnya di dalam rumah.

“Namun, sekiranya perlu melakukan aktiviti di luar adalah dinasihatkan supaya memakai pakaian yang tidak terlalu tebal, gunakan topi atau payung sebagai pelindung,” katanya ketika ditemui SelangorKini, semalam.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata, penjagaan kebersihan juga perlu diutamakan bagi mengelak penyakit daripada berjangkit.

Terdahulu, beberapa negeri di Semenanjung, kawasan barat Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan di bawah paras purata sepanjang Ogos hingga September, berikutan cuaca panas.

Negeri terbabit adalah Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, keadaan itu disebabkan negara sedang mengalami fasa musim Monsun Barat Daya yang antara lain turut menyebabkan suhu menjadi lebih panas daripada kebiasaan.


Pengarang :