SELANGOR

EXCO saran kawasan perumahan tubuh Skuad Anti Denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 OGOS: Penduduk di setiap kawasan perumahan disaran menubuhkan Skuad Anti Denggi masing-masing, bagi mencegah penyakit itu daripada terus berleluasa, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Dr Siti Mariah berkata, penting skuad itu ditubuhkan kerana penduduk sendiri yang boleh menentukan tahap kebersihan sekeliling rumah mereka selain pihak agensi kerajaan.

“Pihak agensi kerajaan hanya boleh melakukan setakat yang mampu namun akhirnya tanggungjawab itu terserah kepada penduduk di sesuatu kawasan untuk menjadikan tempat tinggal mereka bebas daripada aedes.

“Mungkin penduduk cuma prihatin tahap kebersihan sampah, namun kadang kala kita tidak sedar bahawa sebenarnya wujud tempat pembiakan aedes di kawasan tempat tinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvensyen Skuad Anti Denggi peringkat Daerah Petaling Tahun 2018 bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, penduduk amat digalakkan mengamalkan kempen 10 minit setiap hari untuk mencari tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes yang menjadi punca demam denggi.

“Walaupun statistik demam denggi di Selangor menurun sehingga tahun lalu, namun saya harap penduduk komited untuk menubuhkan Skuad Anti Denggi bagi membendung penyakit ini daripada meningkat semula.

“Saya pasti jika semua orang ada kesedaran untuk menubuhkan Skuad Anti Denggi dan melakukan kempen 10 minit itu setiap hari, sudah pasti negeri atau negara ini akan bebas daripada demam denggi,” katanya.


Pengarang :