SELANGOR

EXCO sokong had umur perkahwinan ditetap MAIS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 OGOS: EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha menyokong cadangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membuat pindaan undang-undang mengenai pernikahan bawah umur di negeri itu.

Haniza bekata, beliau menyokong kenyataan dikeluarkan MAIS yang mencadangkan pindaan kepada peruntukan di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi orang Islam.

Katanya, had umur dicadangkan MAIS adalah daripada 16 tahun kepada 18 tahun untuk kedua-dua wanita dan lelaki beragama Islam.

“Saya menyokong penuh cadangan ini dan beranggapan bahawa pindaan untuk menaikkan had umur perlu dilaksanakan tanpa apa-apa pra-syarat lain.

“Saya yakin ini adalah usaha serta cadangan terbaik bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 16 tahun berada di tempat sepatutnya seperti sekolah, juga mereka tidak boleh langsung dibenarkan berkahwin sebelum mencecah usia 18 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Haniza berkata, Selangor perlu menjadi perintis kepada cadangan pindaan itu memandangkan peruntukan undang-undang pindaan boleh dilaksanakan di peringkat Dewan Negeri.

“Saya komited mengangkat isu ini dalam sidang Dewan Negeri Selangor yang bakal bermula September ini.

“Saya percaya bahawa negeri lain juga harus turut serta memastikan pindaan undang-undang ini dilaksanakan bagi menjaga kepentingan masa depan anak-anak kita,” katanya.

 


Pengarang :