GLOBAL

FBI siasat motif lelaki curi pesawat

SAN FRANCISCO 12 OGOS: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) hari ini menyiasat punca yang mendorong seorang kakitangan penerbangan untuk mencuri dan menerbangkan sebuah pesawat tanpa penumpang dari lapangan terbang Seattle sebelum ia terhempas.

Ia turut memaksa pihak berkuasa mengerahkan dua jet pejuang tentera udara jenis F-15 untuk menyiasat insiden itu.

Difahamkan, seorang kakitangan darat Horizon Air, mencuri masuk ke dalam pesawat jenis Bombardier Q400 turboprop Jumaat lalu di kawasan penyelenggaraan di Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma dan berlepas, kata sekutu syarikat penerbangan Horizon, Alaska Airlines (ALK.N).

Dia terbang hampir sejam dalam keadaan tidak menentu seolah mencuba formasi lagak ngeri udara, sebelum terhempas di Pulau Ketron di Puget Sound, 40 kilometer di barat daya.

Menurut pihak berkuasa, lelaki berusia 29 tahun yang belum dikenal pasti itu cuba membunuh diri dan bertindak bersendirian. Dia dipercayai terbunuh dalam nahas itu.

Ketua Eksekutif Horizon Air, Gary Beck berkata dalam satu sidang media, suspek mempunyai lesen penerbangan dan masih tidak dapat dijelaskan bagaimana dia mampu berlepas dan terbang seperti itu.

“Terdapat beberapa formasi yang sangat luar biasa dilakukan dengan pesawat itu. Pesawat komersial adalah mesin yang kompleks. Ia tidak semudah menerbangkan sebagai contoh Cessna 150, jadi saya tidak tahu bagaimana dia mempunyai pengalaman seperti itu,” kata Beck.

FBI akan mengetuai siasatan, termasuk Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan.

“Kami akan lebih teliti. Ini bermaksud kami akan mengambil masa yang diperlukan untuk meneliti kawasan itu, menyelidiki latar belakang individu yang dipercayai bertanggungjawab, dan mengkaji setiap aspek insiden ini dengan semua rakan kongsi awam dan swasta yang berkaitan,” kata FBI dalam satu kenyataan.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :