EKONOMI

Firma penyelidikan turunkan penarafan ke atas TM

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Tiga firma penyelidikan telah menurunkan cadangan penarafan mereka ke atas Telekom Malaysia Bhd (TM), berikutan keputusan separuh pertama 2018 syarikat itu yang mengecewakan yang diumumkan semalam.

Kenanga Research menyemak semula saranan kepada ‘prestasi pasaran’, dengan penurunan harga sasaran (TP) sebanyak RM3.55 sesaham, dan mengurangkan unjuran pendapatan tahun kewangan (FY) 2018-19 ke atas TM sebanyak tujuh dan sembilan peratus.

Satu lagi firma penyelidikan, Maybank IB Research juga menyemak semula saranan penarafannya kepada ‘pegang’, dengan TP sebanyak RM3.70 sesaham, dan menurunkan ramalan pendapatan FY18/19/20 TM masing-masing sebanyak lapan/lima/ lima peratus untuk mencerminkan kadar unjuran keuntungan baru untuk pendapatan borong dan kadar cukai yang lebih tinggi untuk FY18.

Sementara itu, Public Investment Bank telah mengurangkan ramalan pendapatan FY18-20 sebanyak sembilan hingga 14 peratus untuk mengambil kira hasil data yang lebih rendah, dengan TP berkurangan kepada RM3.83 daripada RM4.65, dengan saranan penarafan ‘beli’ berbanding ‘neutral ‘ sebelum ini.

Pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2018, keuntungan bersih TM turun 51.5 peratus tahun ke tahun kepada RM102 juta.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :