SELANGOR

Fitnah rosak bahan kempen, tempoh 24 jam mohon maaf

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 27 OGOS : Calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong diminta tampil mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam terhadap DAP.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, ia berikutan kenyataan Calon MCA, Tan Chee Teong yang menuduh DAP merosakkan bahan kempen milik mereka.

“Ini adalah fitnah serius dilemparkan terhadap DAP, mereka (MCA) membuat kenyataan di dalam facebook mengatakan akan mengadakan sidang media berhubung isu berkenaan.

“Namun anehnya apabila kenyataan terbabit dibuat tanpa bukti. Sehingga hari ini kami masih menunggu apa buktinya .

“DAP menggesa MCA membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam, sekiranya tidak, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya dalam sidang media di pejabat DAP Balakong, hari ini.

Hadir sama, Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Wong Siew Ki, dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Lip Eng berkata, DAP tidak akan sesekali bertindak sedemikian berikutan ia hanyalah sifat kebudak-budakan.

“Kami berpolitik secara matang, MCA hanya boleh hidup dengan politik yang suka menyentuh isu agama dan juga perkauman, bagi kami itu adalah politik kolot,” katanya.

Semalam, Siew Ki telahpun membuat laporan polis berhubung dakwaan palsu yang dilemparkan MCA.

Siew Ki tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, diiringi ejen pilihan raya, Khoo Khim Han, kira-kira jam 1.50 petang bagi memberi keterangan lanjut kepada pihak polis terhadap perkara terbabit.


Pengarang :