Selangorkini
NASIONAL

Gandingan Dr Afif-Hilman kemudi AMK

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 OGOS: EXCO Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin menawarkan diri sebagai calon Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Manakala Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham memilih untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua AMK.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua calon itu berkata, kepimpinan AMK yang kuat dan bersatu padu penting untuk merencana masa depan Malaysia Baru serta menjamin pelaksanaan agenda reformasi.

“Mendepani cabaran ini, kami sudah memulakan perbincangan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan utama parti, teman seperjuangan di Permatang Pauh serta Gombak juga akar umbi AMK bagi membingkai muafakat yang utuh.

“AMK adalah KEADILAN Masa Depan, justeru kami berharap dengan sokongan semua, kita dapat menjana semula muafakat baru bagi membangun sayap AMK yang kuat dan progresif,” katanya.

Kenyataan itu berkata, generasi muda memainkan peranan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu demi mengubah landskap politik dan merealisasikan agenda reformasi.

Katanya, idea belia yang segar dan dinamik serta gerak kerja progresif berjaya memacu arus perubahan Malaysia.

“AMK berusaha sedaya upaya menggembleng dukungan generasi muda kepada KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Selain menampilkan calon muda yang berketrampilan dan wibawa, AMK juga berjaya merangkul anak muda Malaysia untuk bergerak sebagai agen parti serta jentera kempen bagi memastikan kemenangan PAKATAN.

“Justeru, kami ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh anak muda Malaysia khususnya anggota AMK yang bersama dalam perjuangan dan melakar sejarah ini,” katanya.

Dr Afif ketika ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua AMK dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Pulau Pinang sementara Muhammad Hilman ialah Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Selangor.


Pengarang :