GLOBAL

Gempa besar skala 7 landa Lombok, gegaran berlangsung tujuh minit

DENPASAR 5 OGOS: Pelbagai reaksi diterima selepas Pulau Bali dan Lombok digegarkan gempa pada kekuatan 7 skala Richter hari ini yang menyebabkan ramai pelancong dan penduduk panik.

Gempa itu berlaku seminggu selepas gempa magnitud 6.4 membunuh 14 orang di pulau peranginan berkenaan disusuli operasi membawa turun beratus-ratus pendaki dari sebuah kawasan gunung berapi.

Setakat ini belum ada laporan kerosakan gempa terbaru yang berlaku pada jam 7.45 malam waktu tempatan.

 

Model terkenal, Christine Teigan adalah antara yang paling awal memberi komen apabila menyatakan dalam Twitter: “Gempa bumi besar.”

Ini disusli dengan kenyataan: “Bali. Dalam ketakutan. Selamat tinggal.” Media seperti The Mirror dan Daily Express melaporkan reaksi pelancong termasuk dari Britain.

Seorang daripada mereka, Kate Dunlop, berkata dia berada di sebuah kafe di daerah Ubud apabila gegaran bermula.

“Mulanya saya nampak ramai yang melompat di balkoni. Kemudian gegaran bertambah kuat dan ramai yang lari ke jalan raya.

“Keadaan begitu menakutkan apabila melihat ramai orang lari. Ketika di luar penginapan pun kami masih rasa gegaran.

“Kami masih terus merasai gegaran susulan ketika saya tulis perkara ini.” katanya.

Pelancong berkata, air melonjak keluar dari kolam renang manakala bangunan bergoyang ketika gempa melanda.

“Gegaran itu berlangsung tujuh minit. Kami keluar dari bilik hotel dan berdiri di luar melihat bangunan juga bergoyang,” kata Mohana Das.

Natasha Millheim pula dipetik sebagai berkata: “Saya dan teman berada di Ubud, Bali dan berada di tepi kolam renang hotel apabila semuanya mula bergegar. Kami boleh dengar penduduk menjerit dan semua orang lari ke luar.”

Amaran tsunami yang kemudiannya disiarkan berhubung gempa terbaru meliputi kawasan Lombok Utara, Bali Timur dan Utara, sebelah utara Jawa Timur, Madura, Kalimantan Selatan dan Sulawesi Selatan.

Sumber- Agensi


Pengarang :