GLOBAL

Gempa Lombok: Angka korban meningkat kepada 460 mangsa

JAKARTA, 16 OGOS: Ketika usaha menyelamat masih dijalankan di lokasi tapak runtuhan akibat bencana gempa bumi, di Pulau Lombok Indonesia, angka kematian terus meningkat kepada 460 orang, menurut pejabat agensi pengurusan bencana nasional hari ini.

Sejumlah 7,773 orang lagi cedera sementara 71,962 buah rumah serta 671 kemudahan pendidikan, 52 infrastruktur kesihatan, termasuk hospital dan 11 klinik kesihatan, 20 bangunan pejabat rosak manakala enam jambatan runtuh, kata Sutopo Purwo Nugroho.

“Malapetaka itu memaksa 417,000 penduduk berpindah dan tinggal di penempatan sementara. Jumlah kematian mungkin meningkat apabila anggota penyelamat dijangka menemukan lebih banyak lagi mayat yang tertimbus,” katanya kepada Xinhua.

Sutopo berkata, kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di beberapa tempat, menyebabkan anggaran kerugian sebanyak US$509.6 juta.

Pada 5 Ogos, gempa bermagnitud 7 Skala Richter melanda Pulau Lombok, seminggu selepas satu lagi gempa berkekuatan 6.4 magnitud menggegarkan pulau yang menjadi tumpuan pelancong itu.

Sejak itu, ratusan gempa susulan tercetus. Indonesia sering mengalami gempa kerana terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :