SELANGOR

Generasi muda digesa tingkatkan pembangunan jati diri

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 OGOS: Generasi muda perlu supaya memberi penekanan terhadap elemen pembangunan jati diri yang cenderung ke arah kematangan, demikian kata Ahli Parlimen Belia Malaysia, Mohammad Hisham Sah Nuddin.

Beliau berkata, hal itu bagi memastikan golongan belia dapat bersedia dengan lebih berani dalam mendepani arus perubahan global yang pantas.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan masih ada dalam kalangan mereka yang berjaya mengurus perubahan ini dengan baik, tetapi perlu diperhebatkan lagi.

“Justeru, mereka perlu diberi kesedaran melalui program daripada kelab dan persatuan belia supaya tampil berani mengubah diri menjadi lebih baik.

“Pada masa sama, belia perlu memiliki keperibadian unggul yang mempunyai minda kelas pertama dan lengkap dengan ilmu pengetahuan serta sahsiah diri terpuji,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas ‘Forum Bual Bicara, Malaysia Baharu, Apa Belia Mahu’, di Dewan Kuliah 2, Universiti Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor, Mu’azammir Jili.

Hisham bagaimanapun berkata, pembangunan jati diri sahaja tidak memadai sekiranya individu itu tidak pandai merebut peluang untuk mengubah diri menjadi lebih baik.

“Justeru, pembabitan belia dalam kelab dan persatuan amat dialu-alukan misalnya Kelab Rakan Muda dan Kelab Belia Sukan, iaitu mereka berpeluang menyertai kerja kemasyarakatan secara bersama, selain dapat meningkatkan kemahiran diri.

“Hal ini juga bagi memastikan mereka supaya tidak ketinggalan dalam fasa belia itu sendiri,” katanya.

Sebelumnya, seramai 100 pelajar turut serta dalam sesi bual bicara yang berlangsung hampir tiga jam itu.


Pengarang :