GLOBAL

Goldman Sachs disiasat AS isu 1MDB

LOS ANGELES 8 OGOS: Pendakwa raya persekutuan di sini mendraf satu aduan jenayah terhadap seorang bekas pegawai pelaburan Goldman Sachs awal tahun ini berhubung dakwaan peranannya dalam penipuan meluas membabitkan Malaysia namun tidak pernah difailkan kerana pertelingkahan dalam Jabatan Kehakiman, menurut dua individu yang mengetahui siasatan.

Kini beberapa individu mengatakan, siasatan itu kini di tangan pendakwa raya persekutuan di Brooklyn, yang menyiasat sasaran lebih besar berbanding jurubank tunggal Wall Street, Goldman Sachs itu sendiri.

Siasatan itu berpusat terhadap kehilangan kira-kira AS$4 bilion (RM16.31 bilion) daripada tabung dana kerajaan Malaysia dikenali secara rasmi sebagai 1Malaysia Development Berhad atau 1MDB.

Pendakwa raya di AS dan tempat lain percaya, sekumpulan individu yang ada hubungan rapat dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, mencurinya daripada tabung dana itu untuk membeli lukisan, kapal layar mewah, hartanah dan malah pegangan pelaburan dalam filem seperti ‘The Wolf of Wall Street.’

Goldman menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada dana itu termasuk membantunya menjual bon bernilai bilion dolar kepada pelabur. Bank itu memperoleh bayaran kira-kira AS$600 juta (RM2.45 bilion) untuk perkhidmatannya.

Pihak berkuasa sedang meneliti jika syarikat itu memainkan peranan dalam penipuan 1MDB atau perlu melakukan lebih lagi untuk mendedahkan penyelewengan dana, kata empat individu.

Goldman berulang kali menafikan peranannya dalam skandal 1MDB, mengatakan ia tidak sedar bagaimana wang daripada dana itu digunakan. Firma itu berkata, ia bekerja sama dengan siasatan.

“Goldman Sachs tidak mengenal pasti jika sesetengah dana yang kami bantu untuk menaikkan 1MDB mungkin pada akhirnya disalurkan untuk tujuan lain,” kata jurucakap Goldman, Michael DuVally.

Siasatan itu adalah satu daripada usaha utama kerajaan di bawah pimpinan Presiden Donald Trump untuk mendakwa firma atasan Wall Street itu.

Sejak krisis kewangan, prestij dan keuntungan Goldman menjadikannya sasaran menarik pendakwa raya dan kes 1MDB menarik minat penguat kuasa undang-undang dalam pelbagai bidang perundangan di AS dan beberapa negara lain.

Keputusan dalam insiden tarik tali dalam Jabatan Kehakiman ialah, siasatan itu kini memfokuskan potensi kebertanggungjawaban Goldman Sachs, kata empat individu.

Pegawai di pejabat peguam Daerah Tengah California, di sini menghabiskan hampir tiga tahun menyiasat kes 1MDB.

Januari lalu, pendakwa raya pejabat berkenaan memaklumkan rakan sejawatan mereka di Daerah Timur New York di Brooklyn, mereka bercadang membuat dakwaan jenayah terhadap bekas pegawai pelaburan Goldman Sachs, Tim Leissner, yang bekerja rapat dengan dana Malaysia itu, kata dua individu yang biasa dengan siasatan.

Pendakwa raya di California berharap untuk menggunakan dakwaan ke atas Leissner sebagai penanda aras bagi merunding satu perjanjian pertuduhan dengannya dan mendapatkan kerjasamanya dalam kes potensi beberapa individu lain, kata seorang daripada individu berkenaan.

Dakwaan disenaraikan terhadap Leissner termasuk tuduhan dia memberi maklumat mengelirukan kepada Goldman, isu yang menyebabkannya disekat pengawal selia keselamatan di Singapura.

SUMBER: REUTERS

 


Pengarang :