SELANGOR

Graduan PhD KUIS tekad mahu sebar luas Bahasa Arab

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 11 OGOS : Graduan Pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bidang Islamiyyat, Yaakob Hasan dari Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) optimis mahu menyebarluaskan lagi ilmu Bahasa Arab di negara ini.

Yaakob berkata, beliau akui Bahasa Arab mempunyai lenggok tersendiri mengikut daerah sama seperti di Malaysia yang mempunyai loghat masing-masing di setiap negeri.

“Saya sendiri dilahirkan di Makkah dan bersekolah rendah serta menengah di sana, jadi Bahasa Arab sudah sebati dengan diri ini.

“Oleh itu, apabila diberi peluang melanjutkan pengajian dalam bidang ini, saya ambil peluang itu dan berusaha membuat tesis supaya ia boleh menjadi sumber rujukan kepada orang lain,” katanya.

Selain itu, Yaakob berkata, beliau kini sedang berusaha bekerjasama dengan Tabung Haji untuk menawarkan kepada mereka berminat mempelajari lenggok Bahasa Arab.

“Mungkin Tabung Haji sendiri boleh menawarkan kepada mereka yang berminat untuk mempelajari dan menyebarkan ilmu Bahasa Arab dengan setiap lenggok yang berbeza,” katanya.

Yaakob berkata, pelbagai cabaran ditempuhi beliau sepanjang melanjutkan pengajian namun ia bukan penghalang untuknya berjaya mencapai misi mendapatkan segulung PhD.

“Antara cabaran besar adalah masa kerana saya melanjutkan PhD sambil bekerja (separuh masa), jadi masa untuk menyiapkan tesis agak singkat dan mencabar.

“Namun, atas usaha dilakukan dan sokongan daripada semua pihak, saya berjaya menyempurnakan tesis ini pada waktu ditetapkan,” katanya seusai Majlis Konvokesyen KUIS kali ke-21, di sini, hari ini.

Katanya, memilih tajuk untuk membuat tesis juga menjadi antara salah satu cabaran besar buatnya kerana bagi menarik orang untuk membaca bukan sesuatu yang mudah.

Sementara itu, Yaakob yang juga sudah 11 tahun sebagai Pensyarah Bahasa Arab di KUIS berkata, beliau memilih KUIS untuk melanjutkan PhD kerana institusi itu mempunyai pengurusan dan kemampuan yang boleh pergi jauh.

Konvokesyen KUIS kali ke-21 itu berjaya melahirkan dua graduan sulung bagi Pengajian PhD dan majlis itu disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Sehingga kini, KUIS sudah melahirkan 19,000 graduan dalam pelbagai disiplin ilmu yang sudah berkhidmat dalam pelbagai sektor sama ada kerajaan atau swasta.


Pengarang :