SELANGOR

Guan Eng seru jentera kerja kuat

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU LANGAT, 18 OGOS: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mahu seluruh jentera supaya tidak terlalu yakin menang di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Sebaliknya, beliau meminta seluruh jentera parti berusaha sehabis daya untuk mengekalkan kemenangan di kerusi yang ditinggalkan mendiang Eddie Ng Tien Chee.

“Saya buat kenyataan bukan mewakili DAP tetapi semua parti dalam Pakatan Harapan (PAKATAN). Kita akan berusaha untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan rakyat.

“Kita tidak boleh yakin sangat akan menang sebaliknya seluruh jentera perlu berusaha bersungguh-sungguh sehingga kemenangan berpihak kepada PAKATAN,” katanya. ketika ditemui di dewan penamaan calon, di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Pada masa sama, Guan Eng berkata, penggunaan logo PAKATAN buat pertama kalinya dalam pilihan raya membuktikan kerjasama kukuh antara parti gabungan.

Guan Eng turut menyifatkan, MCA adalah parti serpihan bersifat memencilkan diri dan mewakili satu kaum sahaja.

“Berdasarkan perkembangan semasa pembangkang, mereka hanya gemar memencilkan diri dan mengutamakan satu kaum sahaja.

“Oleh itu, terserah kepada rakyat sama ada ingin memilih parti yang mewakili seluruh rakyat Malaysia atau sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, Guan Eng mengiringi Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang, Wong Siew Ki, yang bertanding sebagai calon PAKATAN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Balakong, pada 8 September ini.


Pengarang :