SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Hab Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamaruddin tepat pada masa

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 30 OGOS: Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad menganggap penubuhan Hab Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamaruddin disifatkan tepat, pada masanya.

Katanya, ia sekali gus mengiktiraf dan menghargai Zuraida sebagai tokoh wanita yang banyak berjasa kepada pembangunan wanita di negara ini, khususnya Selangor.

“Perjuangan beliau dalam memperkasakan wanita tidak boleh disangkal lagi. Bermula sebagai aktivis, ahli politik, ahli parlimen dan kini sebagai menteri, beliau masih teguh bersama usul perjuangan, iaitu wanita di Malaysia harus diberikan pembelaan dan pemberdayaan sewajarnya.

“Agenda pemberdayaan wanita terus diangkat apabila beliau dilantik sebagai menteri, sekali gus mengusulkan 30 peratus ahli majlis diberikan kepada golongan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Pelancaran Hab Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamaruddin di sini, hari ini.

Masdiana yang juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, penubuhan Institut Wanita Berdaya, pada 2017 bertujuan menjadi badan pemikir dan pembuat dasar yang menyokong agenda serta matlamat diperjuangkan Kerajaan Negeri.

Katanya, ia menjunjung prinsip hak asasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, selain memastikan keseimbangan dan kecemerlangan berterusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Semoga hab ini akan menjadi landasan untuk mengangkat usaha pemberdayaan wanita melalui Dasar Wanita Selangor dengan memaksimumkan potensi dan kapasiti wanita.

“Saya juga berharap ia akan menaik taraf kehidupan sosio-ekonomi, kesihatan dan keselamatan wanita serta meningkatkan keupayaan kepimpinan juga pembuat keputusan wanita,” katanya.


Pengarang :