SELANGOR

Hadiahkan bas sempena Ulang Tahun Ke-50 Sekolah Seri Puteri

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Bersempena ulang tahun ke 50, Persatuan Alumni Sekolah Seri Puteri (PUTERI) menghadiahkan sebuah bas yang mampu memuatkan 40 pelajar dalam satu masa kepada sekolah bestari terbabit.

Presiden PUTERI, Mastura Ma’sud berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk menghadiahkan sebuah bas sekolah kerana ia adalah hadiah praktikal dan dapat dimanfaatkan kepada pelajar pada masa akan datang.

“Sehubungan dengan itu, pihak PUTERI mencadangkan 50 batch lepasan Sekolah Seri Puteri (SSP) dari batch SPM 1969 hingga SPM 2018 untuk memberi sumbangan sekurang-kurangnya RM10,000 setiap batch.

“Syukur bekas pelajar SSP bangkit dan menyahut cabaran ini dan sehingga kini kita berjaya mengutip RM467,000 untuk membeli bas berkenaan dan menghadiahkan kepada SSP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santapan DiRaja bersempena Ulangtahun ke 50 SSP di Hotel Mandarin Oriental, di sini, semalam.

Turut berkenan hadir ke majlis Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norasyikin dan isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Mohamed.

Sementara itu, Mastura berkata, dengan adanya bas berkenaan nanti, beliau percaya ia boleh memantapkan lagi aktiviti kokurikulum di luar sekolah demi kecemerlangan dan jati diri murid SSP sekalian.

Pada masa sama, Mastura berharap agar sumbangan itu dapat memberi inspirasi kepada batch lain untuk turut memberi sumbangan berterusan supaya impian menghadiahkan sebuah bas berkualiti akan menjadi realiti.

“Dalam kesempatan ini, saya ingin mempelawa tetamu kehormat dan hadirin sekalian turut menyumbang kepada Tabung Bas kerana ia masih tidak mencukupi, peribahasa Melayu mengatakan kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan,” katanya.

Sekolah Seri Puteri yang ditubuhkan pada 6 Mei 1968 pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur.

Namun, pada 2003, sekolah itu dipindahkan ke premis baharu di Persiaran Tasik Cyberjaya, manakala premis lama dijadikan Sekolah Sains Seri Puteri (Seseri).


Pengarang :