NASIONAL

Hakim Mohd Nazlan akan dengar kes Najib 8 Ogos

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mengikut senarai kes di Mahkamah Tingggi Jenayah 3, Mohd Nazlan akan mendengar kes Najib yang ditetapkan pada 8 Ogos, pukul 9 pagi.

Mohd Nazlan, 51, dari Mahkamah Tinggi Dagang 1 menggantikan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang sebelum ini mendengar kes Najib.

Mohd Sofian ditukarkan ke Mahkamah Tinggi Sivil 10. Pertukaran mereka berkuat kuasa I Ogos 2018 dan surat pertukaran itu telah ditandatangani Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim pada 24 Julai 2018.

Pada 8 Ogos ini kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes dan pendengaran perintah halangan yang dimohon oleh Anggota Parlimen Pekan untuk menghalang media daripada menyiarkan perbincangan umum berkaitan merit kes itu dan bagi menetapkan tarikh perbicaraan kes itu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :