BERITA UTAMASELANGOR

Halimey bertemu Halimah ‘rebut’ kerusi DUN Seri Setia

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 18 OGOS: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia hari ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PAKATAN) dan PAS.

Pengesahan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN N.32, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada jam 10.37 pagi.

PAKATAN meletakkan calon muka baharu, Halimey Abu Bakar iaitu bekas Ahli Majlis MBPJ serta aktif dengan kepimpinan di Selangor sementara PAS pula mempertaruhkan, Dr Halimah Ali.

Mohd Azizi berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya menerima kertas penamaan daripada dua calon untuk bertanding pada PRK DUN Seri Setia, pada 8 September ini.

Katanya, semua calon sudah mengemukakan kertas penamaan.

“Halimey daripada PAKATAN menyerahkan borang pada jam 9.10 pagi sementara Dr Halimah (PAS) menyerahkan borang, pada jam 9.15 pagi.

“Pengundian awal adalah pada 4 September ini dan hari mengundi, pada 8 September ini,” katanya.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia, pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Shaharuddin mengalahkan tiga pencabarnya Datuk Yusoff HM Hanif daripada BN, Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas Dr S Vignes dengan majoriti 19,372 undi.

 


Pengarang :