SELANGOR

Halimey fokus isu pendidikan demi kemajuan masyarakat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar optimis memberi perhatian terhadap isu pendidikan termasuk kemudahan infrastruktur demi masa depan masyarakat.

Katanya, insfrastruktur pendidikan di situ akan ditingkatkan pada tahap terbaik bagi memangkin kecemerlangan kepada generasi muda.

“Insfrastruktur ini perlu diperkemas dan diperkasakan dari semasa ke semasa sejak daripada tadika, sekolah rendah dan menengah sehingga mereka menjejakkan kaki ke menara gading.

“Di DUN Seri Setia terdapat banyak Tadika dan Taski, Pra Sekolah, Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil dan Cina), Sekolah KAFA dan sebagainya di mana pada pemerhatian saya, masih banyak insfrastruktur perlu ditambah baik terutama beberapa tadika yang ada,” katanya.

Halimey berkata, keadaan sama boleh dilihat kepada kemudahan perpustakaan disediakan di mana pada pandangannya masalah capaian internet dan pengenalan aplikasi terkini perlu diberi perhatian.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Dewan Orang Ramai atau Dewan Serbaguna serta Balai Raya boleh dimanfaatkan sebagai pusat tuisyen malah boleh dikemaskini supaya menjadi ruang mengulangkaji bagi pelajar di DUN berkenaan.

“Ini kerana kebanyakan ruang di rumah terutama di pangsapuri kos rendah agak sempit dan tidak selesa untuk dijadikan ruang pembelajaran atau ulangkaji kepada anak-anak.

“Selain itu, masjid, surau dan rumah ibadah boleh juga diadakan ruang untuk dijadikan pusat kecemerlangan dengan bukan hanya kita tambah bangunan untuk dijadikan perpustakaan atau pusat kecemerlangan malah kita aturkan aktiviti bersama sukarelawan dan tutor di situ bagi membantu anak-anak menyiapkan kerja rumah juga latihan,” katanya.

Beliau turut menekankan penguasaan bahasa asing terhadap golongan pelajar dalam menghadapi zaman millennial dengan merangka penambahbaikan terhadap program sedia ada.

“Kelebihan utama mempelajari bahasa luar ini ialah seseorang individu boleh memperoleh banyak maklumat tentang sesuatu ilmu dan banyak buku berkaitannya ditulis dalam bahasa asing terutamanya Bahasa Inggeris.

“Selain itu, usaha untuk mendedahkan pelajar dengan beberapa program bersifat antarabangsa juga akan diberi perhatian seperti program pertukaran pelajar antarabangsa membabitkan negara maju antaranya Jepun, Korea, Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata, Pusat Khidmat Rakyat KEADILAN bersedia memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada ibu bapa yang memerlukan bantuan demi manfaat anak mereka pada masa depan.

Halimey adalah calon PAKATAN dari KEADILAN bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Seri Setia, 8 September ini dan akan berdepan cabaran satu lawan satu dengan calon PAS, Dr Halimah Ali.

PRK DUN Seri Setia diadakan ekoran kematian penyandangnya, Dr Sharuddin Badaruddin (PAKATAN), 2 Ogos lalu.


Pengarang :